Surat Terbuka Kepada Calon-calon SPM 2014.
بِسْمِ اللّهِ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Dengan Nama Allah yang Maha
Pemurah lagi Maha Penyayang
إِنَّ الحَمْدَ لله نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهِ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
Sesesungguhnya segala pujian adalah milik Allah , kami
memujiNya dan meminta ampun kepadaNya, berlindung dari kejahatan jiwa-jiwa kami
dan kejelekan amal-amal kami. Barangsiapa Allah tunjuki maka tidak ada yang
dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Ia sesatkan maka tidak ada yang dapat
menunjukinya. Aku bersaksi bahwa tidak ilah (Tuhan) yang haq selain Allah dan
aku bersaksi bahwa Muhammad adalah rasul-Nya.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar khatamun Nabi,
saiyidil-mursalin Muhammad Ibn Abdullah Rasulullah s.a.w. Nabi dan Rasul umat
akhir zaman, ketua nabi-nabi dan rasul-rasul, pembawa rahmat seluruh alam. Juga
salam ke atas seisi keluarga baginda, para sahabat, tabiin, tabi’ tabiin,
syuhada’ dan solihin amnya sama ada yang masih hidup mahupun yang telah kembali
ke hadrat Illahi. Semoga semuanya dirahmati Allah dan kekal dalam
peliharaan-Nya.
سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang
telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui
lagi Maha Bijaksana. Al-Baqarah,2: 32
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةًمِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku. dan
mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya
mereka mengerti perkataanku. Taa Ha, 20: 25-28 Amma ba’du,
Saya mulakan warkah ini dengan ucapan salam
universal Islam, Assalamualaikum warrahmatullahiwabarakatuh. Semoga
Allah mengurniakan taufiq dan hidayah buat anak-anak Homeroom Ruby 4 2013.
Terlebih dahulu saya mohon ampun dan maaf kerana lambat menghantar keputusan
dan surat-surat pentadbiran sekolah. Ini adalah kerana saya perlu menghadiri
kursus Induksi (pengesahan jawatan) seawal mulanya cuti sekolah dan
perkara-perkara lain yang perlu didahulukan dan tidak dapat dielakkan. Sekali
lagi dengan rendah hati, saya mohon maaf.
Keputusan kedua-dua semester kini telah pun
berada di tangan adik-adik dan diam tak diam SPM kini menjadi ujian terbesar
yang akan adik duduki tidak lama lagi. Ingin saya tegaskan di sini, SPM
bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh. Ini kerana kelangsungan
hidup adik-adik pada masa akan datang khasnya di Malaysia bermula dengan SPM.
Ia mempengaruhi jalan pendidikan dan kerjaya adik-adik kelak. Sebagai
mukadimah, buatlah analisa dan perbandingan prestasi akademik adik-adik untuk
kedua-dua semester. Puas hatikah kalian dengan pencapaian semasa? Saya percaya
terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki dan diisi sebaiknya agar adik-adik
tidak menyesal di kemudian hari.
Adik-adik yang dikasihi kerana Allah swt,
Dikesempatan cuti yang masih berbaki, kerja sekolah dah siap? Kalau belum, janganlah berlengah. Ia adalah untuk kebaikan adik-adik juga. Hentikanlah budaya siap ‘last minute’ yang kononnya ‘study smart’ dengan menyalin jawapan rakan-rakan yang telah siap pada PREP Malam 1 Januari 2014 kelak (hari pertama di sekolah pada tahun 2014). Percayalah ia adalah budaya yang sangat tidak sihat. Usahakanlah untuk meluangkan masa menelaah dan membuat latihan-latihan yang telah dibekalkan. Buat latihan lebih, lebih baik. Bahkan saya secara peribadi menganjurkan adik-adik untuk membaca dan mempelajari lebih dahulu subjek tingkatan 5.
Saya juga
ingin menegur pengurusan masa adik-adik. Tidak dapat dinafikan ada 2-3
anak-anak HR saya mampu keluar dari pengaruh budaya tidak sihat disekolah, namun
majoritinya gagal memanfaatkan masa terluang untuk belajar. Kehadiran pelajar
ke PREP Petang sangat mendukacitakan. PREP Malam pula, sudahlah bermula lambat
dan bila nak balik dari PREP Malam pula masing-masing keluar dari kelas 5-10
minit lebih awal. Ramai yang sedemikan bukan? Namun tidak bermakna ramai
bermakna betul. Kami para guru telah berulang kali menegur dan berusaha
membentuk kalian agar menggunakan masa sebaiknya menerusi penguatkuasaan dan
rondaan. Kesannya bagaikan mencurah air ke daun keladi. Pelajar hanya berubah
mengikut musim dan tidak sedar pentingnya peranan masa dalam pelajaran dan
kehidupan. Adik-adik, adakah bila orang lain terjun bangunan kita turut sama
nak terjun bangunan? Hayatilah firman Allah dalam surah Al-Asr yang lazim kita
lafazkan setiap kali habis sesuatu majlis ilmu dan kelas.
وَالْعَصْرِ
(١)إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢)إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا
الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
1 Demi masa. 2. Sesungguhnya manusia itu
benar-benar berada dalam kerugian, 3. kecuali orang-orang yang beriman dan
mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan
nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (Al-Asr. 103: 1-3)
Adik-adik yang dikasihi kerana Allah swt,
Apa yang saya coretkan seolah-olah membuka pekung di dada sendiri. Bermula hari ini, musim cuti sekolah ini, di rumah sendiri. Adik-adik perlu belajar mengurus masa dengan baik. Bukannya bermula di sekolah! Bermula sekarang. Jangan biarkan diri adik-adik di rumah seumpama ular sawa. Makan. Tidur. Astro atau TV. FB atau internet-PC. Makan. Tidur. Astro. FB. Begitulah seterusnya berulang-ulang. Binalah persekitaran yang sihat di rumah. Ada jadual dan akur jadual. Bersemangatlah dan lawanlah rasa malas serta beralasan. Jika adik-adik tidak mampu buat di rumah, apa pula jaminan adik-adik mampu buat di sekolah? Telah saya katakan dalam kuliah Maghrib, bahawa pendidikan pertama bermula di rumah. Saya cukup yakin, ibu bapa pasti akan menyokong kesungguhan adik-adik untuk menaiktaraf kecemerlangan akademik adik-adik. Tidak ada ibu bapa yang mahu tengok kegagalan anak-anaknya di masa hadapan. Ibu bapa dan guru-guru akan menyediakan pelbagai kemudahan untuk adik-adik berjaya, soalnya adakah adik mahu berjaya? Tiada ertinya jika ibu bapa dan guru-guru bersungguh-sungguh dalam menyediakan 1001 prasarana terbaik bagi menuju kejayaan tapi di hati adik-adik 0 keinginan, motivasi dan kemahuan.
Pada perkiraan saya, adik-adik telah pun
maklum bahawa telefon bimbit akan menjadi bahan terlarang semula di sekolah.
MRSM Serting juga telah menguatkuasakan semula larangan telefon bimbit. Begitu
juga MRSM lainnya. Ini kerana terlalu banyak kes dan pencabulan undang-undang
peraturan sekolah melibatkan telefon bimbit seperti kes curi, pukul, dating,
coupling. Besarlah harapan saya agar adik-adik berjaya menerima dengan baik penguatkuasaan
semula peraturan ini. Di antara hikmah besar yang perlu difikir dan dihayati
adalah fokus kepada pelajaran khasnya kepada adik-adik yang baru kenal erti
cinta atau memang sedang dalam cinta remaja. Hakikatnya rasa cinta memang
perkara fitrah dan tidak dilarang namun tidak bermakna ia tidak dapat dikawal.
Untuk 2014 ketika mana fokus 100% perlu untuk pelajaran dan SPM, ketiadaan sms,
call dan seangkatan dengannya yang melibatkan cinta monyet- cinta remaja adalah
suatu rahmat tidak terhingga. Selain membantu adik-adik untuk lebih fokus,
peraturan ini juga turut menjimatkan masa adik-adik tanpa perlu melayan call
dan sms, jimat kos dan terhindar dari salah laku berkaitan. ‘Lesen’ dengan mengatakan ibu dan ayah tahu
bahawa adik-adik ‘berkawan’ dengan pasangan perlu digantung. Untuk setahun ini
sahaja. Tingkatkanlah rasa kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa dan jika
betul-betul ingin bercinta, cintailah kedua mereka kerana mereka telah banyak
berkorban demi adik-adik tanpa sebarang syarat.
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى
رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ :يَا رَسُوْلَ اللهِ،
مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ؟
قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ، قَالَ
أَبُوْكَ
Dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata, “Seseorang
datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya, ‘Wahai
Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu
‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali
bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab,‘Ibumu!’ Orang
tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’
Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi
wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’” (HR. Bukhari no.
5971 dan Muslim no. 2548)
Tahun 2014 inilah peluang untuk adik-adik
membalas pengorbanan penat lelah mereka kedua ibu bapa menerusi keputusan yang
baik dalam SPM. Ibu bapa tidak meminta dan sama sekali tidak pernah meletakkan
syarat atas setiap pengorbanan mereka, adik-adik selaku anaklah yang sendiri
perlu sedar peranan sebagai khalifah juga sebagai anak untuk cemerlang dalam
akademik, akhlak, dan agama. Tiada hadiah lebih bermakna buat ibu bapa
melainkan kejayaan anak-anak mereka dalam bidang akademik serta kehidupannya.
Pun begitu, tidaklah saya nafikan peripentingnya
komunikasi silang jantina. Bukanlah tidak boleh langsung berkomunikasi dan
putus hubungan. Gabungan keduanya boleh menghasilkan ide yang bagus. Justeru
berhubunglah, berkawanlah dalam batas-batas terkawal. Saya kira adik-adik cukup
bijak untuk faham apa yang saya maksudkan.
Menyentuh soal hubungan sesama rakan, sifat ambil
berat dan jaga tepi kain orang perlu ditanamkan dalam diri adik-adik khasnya di
asrama. Perkara-perkara yang ‘menyeronokkan’
untuk dijadikan bahan bualan termasuklah mencari salah junior, mengata guru,
mengeji dan mencarut. MRSM TGS ketandusan nasihat sesama rakan sebaya yang
positif. Untuk itu saya merayu kepada adik-adik selaku pelajar senior 2014
untuk menerapkan budaya positif di asrama. Tiada gunanya menyorokkan kebenaran,
‘cover line’ dan bersubahat dengan mendiamkan diri dari melaporkan aktiviti
salah laku dikalangan rakan pelajar seperti kes rokok dan pukul. Ayuh kita
bersama-sama mengubah persekitaran asrama semasa kepada keadaan yang lebih
bersih. Jangan hanya kerana sekolah ada pekerja pembersihan, kita dengan mudah
tidak ambil peduli soal kebersihan. Malu untuk mengakukan? Kalaulah ibu bapa
dibenarkan masuk ke dalam asrama di hari-hari persekolah dan lihat sendiri
bilik, tempat tidur,aras dan bilik air tempat anak-anak lalu lalang, guna dan
berada dalamnya..... tak tahu nak cakap apa. SPM, SPM juga. Kebersihan dan
disiplin juga agenda utama.
Adik-adik yang dikasihi kerana Allah swt,
SPM- Sijil Pelajaran Malaysia tidak dinafikan akan kepentingannya, begitu juga SPM- Sijil Padang Mahsyar yang pasti tak kurang juga pentingnya! Dalam sibuk mengejar kejayaan kurikulum usahlah diketepikan soal barakah, doa dan tawakal. Letakkanlah kebergantungan yang tinggi terhadap Allah swt. Ilmu itu adalah nur (cahaya) yang tidak akan hinggap di hati-hati yang gelap lagi kotor. Saya juga menyarankan agar adik-adik mendahului semua amal termasuklah belajar dan ulangkaji dengan niat kerana Allah swt. Dengan niat yang ikhlas itu, semoga Allah swt mempermudahkan segala urusan serta menjadikan ilmu yang dipelajari sebagai ilmu yang bermanfaat disamping dapat diterjemah sebagai jawapan yang tepat di atas kertas soalan peperiksaan kelak. Rajinkanlah diri untuk taqarrub ilallah- mendekatkan diri dengan Allah swt seperti memperbanyakkan solat-solat sunat; Solat Dhuha, Solat Rawatib, Solat Hajat dan kemuncaknya qiamullail di mana Allah turun kelangit dunia dan mendengar rintihan hamba-hambanya pada 1/3 akhir malam. Banyakkan juga berdoa samada sebelum belajar dan sesudah belajar. Bahkan istimewanya doa dan mengingati Allah sehingga ia menjadi ubat kepada stress, kebuntuan dan tension.
الَّذِينَ
آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ
تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Buat akhirnya, saya memohon ampun dan maaf
jika ada terkasar bahasa dan mengguris hati mana-mana pihak sepanjang coretan
ini. Bukanlah niat saya untuk menuding jari pada mana-mana pihak atau
meletakkan diri saya yang serba dhaif terlalu hebat, cuma perkongsian di atas
dirasakan perlu untuk renungan kita semua. Nukilan di atas adalah bersifat
umum, kerana saya tahu bukan semua anak-anak Homeroom Ruby 4 bermasalah. Kebanyakan
dari anda punyai aura dan semangat positif untuk menjadi lebih baik dan dengan
sandaran inilah saya mengutuskan ‘Surat Terbuka’ ini untuk sama-sama kita
menjadi revolusi generasi TGS. Begitu juga dengan ulasan-ulasan akademik dan
sahsiah yang saya rakamkan pada helaian sebelumnya. Ulasan itu tidak bersifat absolut
dan hanya berpandukan pendapat saya semata-mata tanpa mendasari permasalahan
lain adik-adik seperti masalah keluarga, kemampuan psikologi dan emosi,
tanggungan dan sebagainya.
Besarlah harapan saya agar kita dapat
memperbaiki dan memperelok ukhuwwah di antara kita. Di pihak saya, InsyaAllah
saya akan cuba membantu sedaya upaya dalam lapangan saya untuk membantu
adik-adik. Mudah-mudahan kita mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa yang
jauh lebih positif pada tahun hadapan.
Sekian.
-----------------------------------------
(ABDULLAH SHUHAIMI BIN ROZLAN)
Guru Penasihat Ruby 4 2013
Guru Penasihat Ruby 4 2013
No comments:
Post a Comment
Thank you for your response. I'll come back to you shortly ~ InsyaAllah ( by God's will) :)